Friday 30 July 2010

PENDUDUKAN JEPUN DI KELANTAN

PEPERANGAN DUNIA KEDUA DI KELANTAN

PENDAHULUAN
Kemungkinan berlakunya serangan Jepun keatas Malaya (Tanah Melayu) menjadi semakin jelas sejak langgaran Jepun keatas Manchuria dalam tahun 1931.Dalam bulan November 1936 Jepun dan Jerman menandatangani Pakatan Anti-Commintern (Anti Komunis Antarabangsa) dan dalam bulan Julai pada tahun berikutnya serangan besar kedua Jepun di negeri China bermula.Kemudian dalam bulan September 1938 telah ditandatangani pula Persetujuan Munich (diantara Britain, Perancis, Jerman dan Itali).Persetujuan itu telah memberi kesan serta merta kepada dasar Jepun.Jepun mengambil keputusan bahawa kelemahan yang ditunjukkan oleh Brintain dan Perancis dalam menghadapi Jerman dan Itali meyakinkan yang ia boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di Asia Tenggara.Dalam tahun 1939, Jepun menolak undangan untuk menyertai rakan-rakannya yang Anti-Commintern di dalam satu pakatan tentera.
Penumpuan Jepun ke arah selatan bermula dalam bulan Persetujuan Munich ditandatangani apabila ia merampas Canton dan mengasingkan Hong Kong daripada Tanah Besar China.Peristiwa ini diikuti pula oleh perampasan tempat-tempat strategik di Laut China Selatan, Pulau Hainan berdekatan dengan Indochina Perancis dalam bulan Februari 1939 dan kepulauan Sinnan, termasuk kepulauan Spratley dalam bulan Mac.Pulau Hainan meletakkan Jepum 1300 batu jaraknya daripada Singapura dan Pulau Spratley pula hanya 700 batu sahaja.Dalam November 1939 Jepun melancarkan gerakan yang besar ke dalam propinsi Kwangsi serta menawan bandar raya Nanning dan memutuskan jalan strategik China yang menghubungi Indochina Perancis yang menjadi tujuan utamanya.Dengan jatuhnya Perancis dan Holland kepada Jerman ,maka jajahan takluk mereka di Asia Tenggara terdedah tanpa pertahanan yang cukup bagi menghadapi kemungkinan serangan Jepun.
Dalam bulan yang sama ketika Perancis jatuh ke tangan Jerman, bulan Jun 1940, Jepun menandatangani satu Perjanjian Persahabatan dengan Thailand.Dalam bulan September 1940 dua perkembangan yang serius telah berlaku di Timur Jauh.Pertamanya, askar-askar Jepun menduduki bahagian utara Indochina Perancis, yang memberikan Jepun satu pangkalan yang dekat sekali dengan Malaya.Keduanya, Jepun menandatangani satu Pakatan Tiga Negara dengan Jerman dan Itali yang menjadikan Jepun terikat hubungannya dengan Kuasa Axis (Jerman dan Itali).Adapun tujuan politik pakatan itu dengan jelas sekali ialah bagi mencegah Amerika Syarikat daripada memberi pertolongan bersenjata kepada Britain serta membolehkan Jepun mengambil alih semua jajahan takluk British dan Belanda di Timur Jauh.Dari segi ketenteraan pula,pakatan itu memberi peluang kepada para pegawai Jepun dan Jerman mengadakan perundingan-perundingan dan peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Jepun.Misi-misi tentera laut dan tentera darat Jepun dengan serta merta telah dihantarkan ke Berlin,manakala Kerajaan Jerman pula mengirim para pakarnya ke Jepun bagi mengkaji serangan ke atas Singapura dan membantu perkembangan atau kemajuan industri pembuatan pesawat terbang Jepun.Di samping itu Kerajaan Jepun mula menghimpun bekalan kelengkapan perang.
Dalam tahun 1940,Britain mula menghantar pasukan tenteranya ke Malaya.Dari bulan September 1940 hingga bulan April 1941 dua batalion tentera British dari Shanghai tiba di Malaya.Ini diikuti pula oleh ketibaan dua briged askar berjalan kaki India iaitu 6th dan 8th India Infantry Brigades dan juga markas kepada 11th Indian Division.Kemudian daripada itu kontinjen pertama Australian Imperial Force,yang mengandungi unit-unit markas dan pertadbiran kepada 8th Australian Division dan 22nd Australian Infantry Brigade Group sampai di Singapura.Tiada lama berselang 15th Indian Infantry Brigade dan 1st Echelon of Headquarters 9th Indian Division tiba dari India yang diikuti pula oleh satu field regiment dari United Kingdom dan 22nd Indian Infantry Brigade dari India.
Di kawasan timur Malaya telah ditempatkan 9th Indian Division yang mengandungi dua brigade group.Salah satu daripada briged tersebut iaitu 8th Indian Brigade Group,di bawah perintah Brigadier B.W.Key,telah ditempatkan di kawasan negeri Kelantan.
Pasukan 8th Indian Brigade di bawah pimpinan Brig.Key mengandungi unit-unit berikut:19th Indian Field Company Royal Bombay Sappers and Miners,2/10th Baluch Regiment,272nd Anti-Tank Battery,3/17th Dogra Regiment,21st Indian Mountain Battery,2/12th Frontier Force Regiment,1/13th Frontier Force Refles,1st Hyderabad Infantry,9th Battery Hong Kong and Singapore Royal Artillery,1st Mysoru Infantry,73rd Field Battery of 5th Field Regiment,4th Pahang Volunteers,Perak Volunteers(Malaya Frontier Patrol),The Kelantan Volunteers and 'A'Company 2nd Battalion,Malay Regiment.
Pantai-pantai di Kelantan seperti Badang,Kuala Pak Mat dan Sabak di pasang pagar kerawat besi berduri dan ditanam periok api dan dilengkapi dengan kubu-kubu semin(pill-boxes) pada jarak 1000 ela tiap-tiap satu kubu tersebut.Setiap kubu itu dikendalikan oleh seorang Pegawai Tidak Bertauliah (Non-Commisioned Officer/NCO) dengan enam orang askar yang bersenjatakan senapang rifel (rifle) dan dua hingga tiga senapang mesin (machine-gun) serta 100 biji bom tangan.Di belakang pagar besi berduri,dibina pula kubu-kubu kecil simpanan dengan jarak yang sama tiap-tiap satu,tetapi dikendalikan oleh beberapa orang sahaja. 
Dalam bulan Mei 1941, Lt-jen A.E. Percival tiba di Singapura untuk menjadi pemerintah pasukan-pasukan tentera British di Malaya dan Singapura. Beliau mempunyai sejumlah 86,000 orang askar pada 7 Disember 1941 yang terdiri daripada 19,600 orang askar bangsa British, 15,200 dari bangsa Australia, 37,000 dari bangsa India dan 16,800 bangsa Asia tempatan.
Di pihak Jepun pula, walaupun Jepun telah berperang di negeri China sejak dari tahun 1931, dan telah menduduki Indochina Perancis dalam bulan Julai 1941, namun ia tidak berperang dengan United Kingdom atau Amerika Syarikat. Sungguhpun begitu, perundingan-perundingan mengenai sekatan perdagangan (trade embargo) yang dikenakan oleh United Kingdom (Great Britain) dan Amerika Syarikat terhadap Jepun semakin meruncing dan berada di tahap yang genting dan dalam hubungan ini pihak Jepun telah membuat keputusan iaitu seandainya ia gagal mendapat konsesi daripada Amerika Syarikat, maka peperangan akan bermula di pagi hari Ahad 8 Disember 1941. Panglima-panglima kanan tentera Jepun telah diberi kebenaran untuk menentukan masa pasukan-pasukan mereka mula melancarkan serangan dan faktor yang penting ialah pasukan mereka hendaklah sampai di sasaran-sasaran masing-masing pada masa yang telah ditetapkan. Bagi Jepun, terutama sekali di masa kepungan Amerika Syarikat sedang ditingkatkan, Malaya menjadi sasaran utama dan dianggap hadiah yang berharga kepada Jepun. Di samping mengeluarkan 38% bekalan getah dunia, Malaya juga mengeluarkan 58% bijih timah, dan di hujung selatan Semenanjung terletak Pulau Singapura yang merupakan pangkalan tentera laut Britain yang besar - dan kunci kepada kuasanya di Timur Jauh. Dalam bulan September 1941, Jepun mula membuat persediaan yang bersungguh-sungguh bagi melancarkan serangannya ke arah Selatan - dengan Selatan Thailand dan Malaya sebagai sasaran utamanya. Lt-Jen Tomoyuki Yamashita telah dilantik sebagai Pemerintah Agung bagi 25th Army yang akan menyerang Malaya. Beliau dibantu oleh Laksamana Madya Jisaburo Ozawa sebagai Pemerintah Agung Skuadron Selatan, Tentera Laut Jepun. Lt-Jen Michio Sugawara sebagai Pemerintah Agung 3rd Air Division, Tentera Udara Jepun.
Pasukan tentera Jepun yang dipilih untuk menyerang/melanggar dan menawan Kelantan adalah askar-askar dari 23 rd Infantry Brigade yang diketuai oleh Mejar-Jeneral Hiroshi Takumi dan askar-askar dari 56 th Infantry Regiment di bawah pimpinan Kolonel Yoshio Nasu. Kedua-dua unit ini adalah dari pasukan Japanese 25 th Army yang diketuai oleh Lt-Jen Tomoyuki Yamashita. Ada pun kekuatan pasukan tentera Jepun tersebut ialah diantara 5,300 hingga 5,590 orang. Pasukan pelopor untuk menyerang dan menawan Kelantan ini dipanggil Takumi Detachment mengambil sempena nama panglima pemerintah pasukan itu iaitu Mej. Jen Hiroshi Takumi.

No comments: