Friday 30 July 2010

JEPUN MENAWAN KELANTAN

Perjuangan Merebut Negeri Kelantan: 10 - 20 Disember 1941 

Setelah mengambil keputusan meninggalkan bandar Kota Bharu kepada Jepun, pasukan-pasukan British mengundurkan diri ke arah Selatan menuju ke pekan Kuala Krai secara berperingkat.
Pada peringkat pertama, pada 9 Disember 1941, pasukan-pasukan British yang undur itu bertahan di kedudukan yang baru, kira-kira empat batu di selatan bandar Kota Bharu dengan pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment di sebelah kanan, pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles di sebelah kiri dan pasukan 3/17 th Dogra Regiment sebagai rizab. Walau bagaimanapun pengunduran askar-askar India di bawah pimpinan pegawai-pegawai bangsa British itu tidak mengikut sepertimana yang dirancangkan atau diaturkan oleh kerana askar-askar Jepun pada masa itu sudah pun berjaya mara dan berada di kawasan berhampiran dengan jalan di antara Kota Bharu dan pekan Kubang Kerian, tetapi pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment berjaya, sambil bertempur sampai di Kubang Kerian dimana pegawai pemerintahnya serta juga sejumlah askar batalion itu yang telah terputus hubungan pada malam sebelumnya, bergabung semula dengan pasukannya.
Walau bagaimanapun, askar-askar Jepun terus mengejar mereka dan terjadilah pertempuran sengit dari jarak dekat dalam keadaan kacau bilau dan mengelirukan. Menjelang 11.00 malam (9 Disember 1941) askar-askar Jepun itu berjaya menawan pekan Kubang Kerian dan kebanyakan askar-askar pihak British terpaksa pula berundur, kali ini ke arah pekan Peringat, 3 1/2 batu di selatan Kubang Kerian, di Jalan Kota Bharu - Pasir Puteh. Pengunduran ini ialah pengunduran peringkat kedua pihak British. Di Peringat mereka didatangi oleh dua kompeni askar-askar dari pasukan 2/10 th Baluch Regiment yang berundur dari Pantai Bachok dan Pantai Melawi yang terletak di selatan Pantai Sabak, 11 batu di timur Peringat.
Sementara itu pada waktu senja 9 Disember 1941, konvoi pertama daripada beberapa konvoi kapal perang Jepun yang membawa pasukan-pasukan tambahan Jepun yang membawa pasukan utama tambahan sampai di pantai Kelantan lalu mendaratkan askar-askar Jepun tersebut. Dalam sepuluh hari berikutnya, tiga divisi (division) infantri (askar-askar berjalan kaki), satu divisi askar yang menggunakan kenderaan bermotor ( a mechanised division) dan beberapa kumpulan (corps) dan askar telah didaratkan di pantai Kelantan, lalu bergerak ke selatan dalam persediaannya untuk melancarkan serangan di Kelantan dan sepanjang pantai timur ke Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang.
Pada 10 Disember 1941, unit-unit pasukan British disusun semula, kekuatan anggota setiap batalion yang telah bertempur dengan teruk menentang kemaraan Jepun sekarang tinggal hanya 600 orang askar atau lebih sedikit daripada itu. Dalam pada itu, beberapa serangan pasukan Jepun yang mara ke arah selatan dari Kota Bharu telah dipatahkan.
Pengunduran peringkat ketiga berlaku apabila Brig. Key memindahkan brigednya tujuh batu lagi ke selatan dan mengambil kedudukan satu batu di selatan pekan Machang. Sejenak selepas mengambil kedudukan bertahan di situ, sampai berita bahawa kapal-kapal perang British - Prince of Wales dan Repulse - telah ditenggelamkan oleh angkatan udara Jepun di laut tidak jauh dari bandar Kuantan, Pahang. Malapetaka yang dialami oleh pihak British ini menjadikan pihak Jepun berkuasa penuh di laut dan merupakan satu faktor penting dalam peperangan di Malaya. Brig. Key mengambil keputusan pada pagi 11 Disember 1941, untuk meninggalkan dua lapangan terbang yang masih ada lagi itu dalam tangan British di Kelantan, supaya membolehkan beliau menempatkan pasukannya di selatan pekan Machang untuk mengawal sistem perhubungan pasukannya. Lagi pun kedua buah lapangan terbang tersebut tidak lagi diperlukan oleh angkatan udara British. Tetapi malangnya landasan di kedua lapangan terbang itu iaitu di Gong Kedak dekat bandar Pasir Puteh dan di Lalangluas dekat pekan Machang terpaksa ditinggalkan dalam keadaan yang baik oleh kerana kerja-kerja untuk meletupkan atau membinasakannya tiada sempat dilaksanakan semasa pasukan British berundur. Walau bagaimanapun, perintah dikeluarkan untuk membinasakan jambatan Guillemard yang merintangi Sungai Kelantan di Tanah Merah dan merupakan jambatan keretapi yang terpanjang sekali di Malaya. Jambatan itu telah dimusnahkan/diletupkan pada 11 Disember 1941.
Sementara itu, pada 10 Disember 1941, pihak Jepun mendaratkan satu pasukan askarnya lagi di Besut dekat Sempadan Kelantan/Terengganu. Pasukan Jepun itu, kemudiannya berpecah dua ; satu kumpulan mara ke bandar Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Gong Kedak, manakala yang satu lagi mara ke arah Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang di pantai timur Malaya.
Pada 12 Disember 1941, Pemerintah Tertinggi Tentera British mengambil keputusan mengundurkan semua sekali pasukan tentera pihak British dari Negeri Kelantan. Justeru itu, maka semua pasukan British di perintahkan supaya berundur dan berkumpul semula di Kuala Krai. Pada masa itu askar-askar Jepun telah pun mara sejauh 26 batu ke selatan bandar Kota Bharu sepanjang jalan raya ke Pasir Puteh dan ke Kuala Krai dan sudah pun dipinggir pekan Machang dan Pasir Puteh. Pada 13 Disember 1941, mereka menawan lapangan terbang di utara Machang dan pada 14 Disember 1941 pula mereka menawan pekan Machang.
Sementara itu, pertempuran sengit telah berlaku pada 12 dan 13 Disember 1941 di sekitar Machang. Askar-askar pasukan 2/10 th Baluch Regiment melancarkan serangan balas dan bertempur dalam jarak dekat dengan askar-askar Jepun yang mara itu dan menimpakan kemalangan ke atas mereka yang cuba mara menyusupi di kawasan belakang garisan pertahanan British.
Pada 13 Disember 1941, pasukan-pasukan British berundur lagi jauh ke selatan - pengunduran peringkat kelima dan mengambil kedudukan baru di Batu 34 1/4 Jalan Kuala Krai. Walau bagaimanapun percubaan pihak British untuk memutuskan hubungan atau pertemuan (contact) dengan pasukan Jepun yang sedang mara itu, mengambil masa sedikit, sebelum berundur, askar-askar pasukan Dogra menimpakan kemalangan yang teruk juga ke atas askar-askar Jepun itu, sebelum berundur lebih jauh lagi dengan hanya mengalami kemalangan kecil sahaja. Waktu itu hari pun sudah mulai gelap sebelum pasukan-pasukan British mengambil kedudukan mereka masing-masing di Batu 34 1/4.
Pada 14 Disember 1941, pasukan-pasukan British sekali lagi berundur dan mengambil kedudukan di Ladang Getah kepunyaan McNicol di mana mereka berehat pada malam itu tanpa sebarang kejadian.
Pada pagi 15 Disember 1941, Jepun meneruskan kemaraan mereka sepanjang Jalan Kuala Krai untuk mengejar pasukan 3/17 th Dogra. Pada masa yang sama, dilaporkan bahawa satu pasukan askar Jepun dengan kekuatan kira-kira 200 orang sedang berusaha menyusup di belakang garisan pertahanan British menerusi hutan rimba ke arah jambatan Sultan Ismail yang terletak di sebelah utara bandar Kuala Krai. Oleh itu dua kompeni dari pasukan 2/10 th Baluch Regiment telah di perintahkan mengawal dan mempertahankan rusuk atau sisi sebelah kanan garisan pertahanan dan juga jambatan itu sendiri. Menjelang waktu malam pengunduran pasukan British melintasi/menyeberangi jambatan itu selesai dilaksanakan dan pasukan briged British berkedudukan seperti berikut : kanan - pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles ; Tengah - pasukan 2/10 th Baluch Regiment ; Kiri - pasukan 4/19 th Hyderabad Regiment dengan pasukan 3/17 th Dogra di belakang sebelah kanan. Markas pasukan 8 th Brigade mengambil tempat di pejabat di Ladang Getah kepunyaan Tuan Peddie. Malam itu merupakan satu malam yang menyedih dan memalukan kerana askar-askar yang berhenti di Ladang itu tiada mempunyai sebarang tempat berteduh. Pada ketika itu askar-askar Jepun sudah pun dapat dihalang daripada terus mara untuk membolehkan pihak British mengundurkan diri ke stesyen keretapi Kuala Krai seterusnya tanpa gangguan pihak musuh.
Pada masa itu kemaraan askar-askar Jepun di sepanjang pantai barat Malaya berjalan terus dengan pesatnya dan pihak British tiada mempunyai pasukan askar yang cukup untuk menahan kemaraan Jepun itu. Oleh itu jika pasukan British terus berada di Kelantan yang mempunyai jalan keluar hanya sebatang jalan keretapi dengan satu landasan sahaja (single track) akan bermakna pasukan 8 th Indian Infantry Brigade dibawah pegawai pemerintah Brigadier B.W. Key akan terputus apabila pihak Jepun sampai di Kuala Lipis. Justeru itu, maka pengunduran pasukan-pasukan British dari negeri Kelantan hendaklah dilakukan serta merta.
Kerja punggah-memunggah bekalan-bekalan dan catuan makanan yang lebih ke dalam gerabak-gerabak keretapi di Kuala Krai telah dimula pada 16 Disember 1941. Pada ketika itu juga stesyen keretapi Kuala Krai mula secara berterusan di bom oleh pesawat-pesawat terbang Jepun. Pada 16 Disember 1941 semua bekalan yang lebih dan alat kelengkapan selesai di punggah keluar dari Kuala Krai dengan keretapi dan pengunduran pasukan-pasukan British dengan keretapi dan pengunduran pasukan-pasukan British dengan keretapi dari Kuala Krai ke Kuala Lipis pun bermula. Yang mula-mula sekali diundurkan dari Kuala Krai ialah pasukan 4/19 th Hyderabad Regiment untuk membolehkannya bergabung semula dengan brigadenya sendiri di pantai barat.
Dalam pada itu, pada jam 8.00 pagi 16 Disember 1941, askar-askar sapper (dari unit engineering) membuat persediaan untuk meletupkan jambatan Sultan Ismail di utara bandar Kuala Krai. Nasib baik juga, tiada sebarang ancaman daripada pihak Jepun kerana setelah lapan kali percubaan barulah jambatan itu berjaya diletupkan. Kelambatan itu disebabkan oleh penggunaan bahan letupan yang tersimpan selama dua puluh tahun dalam simpanan.
Pada 17 dan 18 Disember 1941, merupakan dua hari yang tenang tiada kejadian besar hanya kerja-kerja pengunduran diteruskan untuk membolehkan pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment menaiki keretapi di Kuala Krai. Mereka berlepas untuk bergabung dengan pasukan 22 nd Indian Brigade di Kuantan.
Pada 19 Disember 1941, stesyen keretapi Kuala Krai ditinggalkan. Unit-unit askar di barisan belakang mengundurkan diri atau meninggalkan Kuala Krai dengan berjalan kaki kerana jambatan-jambatan keretapi yang besar-besar semuanya sudah pun diletupkan/dimusnahkan. Semua sekali alat kelengkapan, setor-setor bekalan tentera, kenderaan-kenderaan, kecuali sebanyak 80 buah ditinggalkan kerana tiada gerabak yang mencukupi, telah berjaya dipindahkan. Semua sekali ada sejumlah 600 kenderaan. Setor-setor bekalan tentera dan lain-lain kelengkapan yang tidak dapat dipunggah keluar dibinasakan seboleh-bolehnya.
Satu pasukan kawalan belakang (rear guard) di bawah pimpinan Letnan-Kolonel McKeller, dikenali sebagai Mcforce (pasukan MC), telah ditinggalkan di barisan belakang untuk memerhati dan mengawasi jalan keretapi dan mencegah jambatan-jambatan keretapi daripada diperbaiki oleh pihak Jepun. Pasukan Mcforce tersebut termasuk di dalamnya askar-askar dari pasukan-pasukan sukarelawan (Volunteers) Kelantan, Pahang dan Perak dan Kompeni 'A', Batalion Ke 2, Askar Melayu dan mereka menjalankan tugas-tugas mereka masing-masing dengan baik dan cekap sekali.
Pada 20 Disember 1941, pasukan 2/10 th Baluch Regiment berehat dengan tenang sepanjang hari di Pekan Manek Urai, kira-kira 13 batu di selatan Kuala Krai, sambil menunggu keretapi untuk membawa mereka ke Kuala Lipis. Sementara itu, pesawat-pesawat terbang Jepun pada masa itu, sibuk sekali terbang memantau kawasan itu, tetapi pasukan-pasukan British telah di pecah-pecah berselerak dan disembunyikan daripada kelihatan dari udara. Pada jam 6.30 malam itu, enam ledakan bom berlaku dan menyebabkan orang terkejut dan sedikit kemalangan, sungguh pun pada masa itu tiada kedengaran atau kelihatan sebarang pesawat terbang musuh di kawasan itu. Pada malam itu juga pasukan 2/10 th Baluch Regiment menaiki keretapi berlepas bukan ke Kuala Lipis tetapi ke Jerantut, jauh di selatan di Negeri Pahang.
Pada 22 Disember 1941, pengunduran semua pasukan British dari Kuala Krai selesai dengan pasukan 8 th Indian Infantry Brigade bertumpu di kawasan Kuala Lipis/Jerantut dan pasukan 1/12 th Frontier Force Regiment bergabung semula dengan Brigadenya di Kuantan.
Di pihak Jepun pula kemajuan kemaraan mereka di Kelantan adalah seperti berikut : sepertimana yang telah pernah di sebut terdahulu daripada ini, askar-askar Jepun setelah berjaya mendarat di pantai Kelantan sekitar tengah malam 7/8 Disember 1941, menawan Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa pada malam 8 Disember 1941, dan bandar Kota Bharu pada jam 2.00 petang 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, mereka menawan pekan Tumpat dan dengan itu memperolehi satu pusat penyaluran bekalan yang berpotensi ; kemudian mereka bergerak mara ke pekan Kedai Mulong di Jalan Kota Bharu - Kuala Krai pada 11 Disember 1941. Pada 12 Disember 1941, jam 9.00 pagi mereka menduduki pula pekan Tanah Merah dan kemudian Lapangan Terbang Lalangluas, di Utara Pekan Machang dan pada 14 Disember 1941 jam 11.00 pagi mereka menawan pekan Machang. Pada 16 Disember 1941, askar-askar Jepun itu mara ke arah pekan Kuala Krai yang ditawan oleh mereka pada jam 11.00 malam, 19 Disember 1941.
Dengan pengunduran semua pasukan British dari Kuala Krai ke Kuala Lipis dan penawanan pekan Kuala Krai pada 19 Disember 1941 oleh Jepun, maka perjuangan merebut Kelantan pun berakhir. Pemusnahan kekuatan ketenteraan British dan terutama sekali angkatan udaranya dan kejatuhan ketiga-tiga lapangan terbang di Kelantan memberikan kepada pihak Jepun kekuasaan tentera yang mutlak di utara dan timur laut Malaya dan merintis jalan kemaraan pesat askar-askar Jepun ke arah selatan apa yang dikenali pada masa itu sebagai British Malaya yang berkesudahan dengan penawanan Singapura, apa yang dipanggil 'Benteng Pertahanan British' (British Fotress) di Timur Jauh pada 15 Februari 1941, oleh Jepun.
Maka dengan itu berakhirlah peperangan dan perjuangan merebut Kelantan .
Dalam perjuangan merebut Kelantan Jepun telah menawan 27 field guns, 73 machine-gun berat dan ringan, 7 buah pesawat terbang, 157 buah motokar dan trak dan 33 buah gerabak barang keretapi. Di pihak Jepun, mereka kehilangan dua buah kapal pengangkut tentera (Awagisan Maru dan Ayatosan Maru), seramai 320 orang askar terbunuh dalam pertempuran dan seramai 538 orang lagi cedera.
Mengenai kekalahan British di Kelantan, Letnan-Jeneral A.E. Percival, Pegawai Pemerintah Tentera British di Malaya 1941-1942, mengulas bahawa pihak British mengalami kemalangan yang agak berat juga tetapi tidaklah teruk sangat. Adalah dipercayai, "pihak musuh, telah menggunakan kurang sedikit daripada satu divisi dan diketahui mengalami kemalangan yang besar semasa melakukan pendaratan".
Seperti kata Kolonel Masanobu Tsuji, Ketua Operasi dan Pegawai Perancang kepada 25 th Japanese Army, Malaya, pendaratan dan pertempuran untuk menawan Kelantan merupakan "satu-satunya gerakan yang dalam Peperangan Di Malaya".
Jika sekiranya pantai-pantai Badang, Kuala Pak Amat dan Sabak yang bersejarah itu dan lain-lain tempat di negeri Kelantan, di mana pertempuran-pertempuran benar-benar telah berlaku dalam peperangan di Kelantan seperti yang telah disebutkan di atas tadi, dimajukan (developed) secara profesional dengan membina semacam satu "Kompleks Memorial dan Muzium" di tempat berkenaan, kemungkinan besar langkah tersebut akan menarik para pelancong baik tempatan mahupun luar negeri, khususnya, mereka-mereka daripada United Kingdom, Australia, India, Pakistan dan Jepun oleh kerana askar-askar daripada negeri-negeri tersebut telah terlibat secara langsung dalam peperangan di Kelantan dalam tempoh daripada 7/8 Disember hingga 20 Disember 1941.

No comments: