Friday 30 July 2010

JEPUN MERAMPAS LAPANGAN TERBANG PENGKALAN CHEPA

Perjuangan Merebut Lapangan Terbang Kota Bharu Di Pangkalan Chepa: 8 Disember 1941
Di seberang sungai itu terletak kubu-kubu pertahanan kedua pihak British. Askar-askar Jepun itu tiada tahu berapa dalam sungai tersebut tetapi dengan memakai pelampung- pelampung mereka terus mara menyeberangi sungai itu sambil menembak-nembak ke depan dan sejurus kemudian kubu-kubu pertahanan barisan kedua pihak British itupun dapat juga ditawan setelah berjuang dengan menggunakan benet. Setelah mengumpul semula askar-askarnya selepas melakukan pendaratan, pemerintah pasukan Jepun membuat persediaan pada waktu matahari jatuh bagi melancarkan serangan malam hari terhadap Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa.
Ada pun Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa itu di kawal/di jaga dan dipertahankan oleh askar-askar bangsa India dari pasukan 1 st Hyderabad Infantry yang diketuai oleh Kolonel Hendricks dan juga pasukan 9 th Battalion Heavy Anti-Aircraft of the Hong Kong dan Singapore Royal Artillery.
Sepertimana yang disebut terdahulu, Lapangan Terbang Kota Bharu telah dibom dan ditembak/dibedil dengan senapang mesin bertubi-tubi sepanjang hari yang mengakibatkan kemalangan dan kerosakan kepada pesawat-pesawat terbang British/Australia. Pada kira-kira jam 3.00 petang (8 Disember 1941) satu khabar angin telah tersebar di lapangan terbang itu kononnya askar-askar Jepun telah pun mara dan sampai di garisan pertahanan sebelah luar lapangan terbang itu. Khabar angin tersebut telah menimbulkan ketakutan dan gelisah (panic). Lalu bangunan-bangunan di lapangan terbang itu dibakar dan para pegawai dan kakitangan stesyen tentera udara mula lari meninggalkan lapangan terbang. Satu tinjauan bersama yang dibuat oleh Brigadier B.W Key dan Wing Commander C.H Noble, Ketua Stesyen Tentera Udara British (Royal Air Force/RAF) mengesahkan bahawa khabar angin itu palsu, tetapi akibat buruk sudah pun berlaku, dan pada jam 3.15 petang para kakitangan stesyen tentera udara dan perkhidmatan squadron (squadron maintenance staff) telah meninggalkan lapangan terbang dengan menaiki kenderaan- kenderaan tempatan menuju ke stesyen keretapi di Kuala Krai. Oleh yang demikian, askar-askar bangsa India dari pasukan 1 st Hyderabad Infantry pun tidak lagi berupaya mengawal dan mempertahankan Lapangan Terbang itu. Pada jam 11.00 malam
(8 Disember 1941), Lapangan Terbang itu kelihatan terbakar di jilat api besar semasa askar-askar pasukan meriam British dan India mengambil tindakan membakar tempat- tempat simpanan minyak petrol (petrol dumps) menyebabkan Lapangan Terbang itu terang benderang dan semua pergerakan dapat dilihat dengan jelas. Semasa pihak British mengeluarkan perintah kepada ketua-ketua pemerintah platun askarnya, askar-askar Jepun yang menyerang itu pun menyerbu masuk ke Lapangan Terbang dan berlakulah pertempuran sengit dalam suasana kelam kabut dengan pasukan-pasukan askar-askar pihak British dan India masing-masing mengundurkan diri mengikut jalan ke arah persimpangan dekat pekan Kedai Lalat yang terletak di sebelah tenggara Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa di seberang Sungai Pangkalan Datu.
Sementara itu di pihak British pula apabila ternyata sejak dari waktu fajar (8.12.1941) tiada kelihatan lagi kapal-kapal perang Jepun dekat pantai di sebelah selatan, maka pemerintah pasukan British di Kelantan menggerakkan batalion simpanannya iaitu Pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles berserta dengan beberapa buah meriam anti kereta kebal dari Peringat untuk melancar serangan balas terhadap askar-askar Jepun yang telah mendarat itu. Beberapa serangan balas yang dilancarkan oleh pasukan yang sedia ada di tempat itu telahpun dilakukan dan berjaya. Pada jam 1030 (10.30 pagi, 8 Disember 1941) pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment (kurang dua kompeni) telah diperintahkan melancar serangan balas dari arah selatan dan pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles dari arah utara. Oleh sebab beberapa kesulitan kerana adanya paya-paya di kawasan itu dan juga oleh sebab adanya beberapa anak-anak sungai yang tidak dapat dilalui yang terdapat di sebelah belakang pantai, maka serangan-serangan balas itu gagal menghalang kemaraan askar-askar Jepun dan pada jam 1700 (5.00 petang, 8 Disember 1941) kemaraan askar-askar pihak British diberhentikan.
Pada kira-kira jam 1630 (4.30 petang, 8 Disember 1941) Pemerintah Tentera Udara Diraja British di Kelantan membuat keputusan iaitu Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa tidak lagi sesuai digunakan oleh pesawat-pesawat terbang dan beliau mendapat kebenaran daripada Pemerintah Tentera Udara Timur Jauh untuk mengundurkan pasukannya dari lapangan terbang itu. Semua pesawat terbang yang masih boleh digunakan diterbangkan dari lapangan terbang tersebut dan kakitangan-kakitangan yang bertugas di situ dipindahkan ke stesen keretapi di Kuala Krai. Pada masa itu tiada lagi pesawat-pesawat terbang pejuang atau pesawat-pesawat terbang peninjau di kawasan Kelantan. Pada jam 1900 (7.00 malam, 8 Disember 1941) lebih banyak lagi kapal-kapal perang Jepun dilaporkan berada dekat pantai Sabak dan askar-askar Jepun telahpun dapat menembusi garisan pertahanan pihak British di pantai dalam kawasan Kota Bharu. Maka panglima pasukan British di Kelantan membuat keputusan memendekkan garisan pertahanannya dan mengarahkan supaya askar-askarnya berundur pada waktu malam ke suatu tempat di sebelah timur bandar Kota Bharu. Pada masa itu hujan sedang turun dan malam menjadi gelap gelita dan perhubungan terpaksa dihadkan kepada Pegawai-pegawai Perhubungan. Jadi bukan satu perkara yang mengejutkan jika perintah-perintah yang diberikan itu berkecamuk jadinya. Akibatnya ialah sebahagian daripada pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles telah tertinggal di belakang.
Kembali kepada kedudukan pihak Jepun, pada jam 6.20 petang, askar-askar mereka mula mara menuju ke arah penjuru timur-laut kawasan Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa, dan pada jam 8.00 malam (8 Disember 1941), mereka pun melancarkan serangan terhadap penjuru tersebut untuk menawan lapangan terbang itu. Tiba-tiba pada jam 8.10 malam satu dentuman atau letupan yang kuat seperti bunyi guruh dan petir halilintar telah kedengaran di lapangan terbang di hadapan askar-askar Jepun yang sedang mara merempuh masuk menyerang lapangan terbang sambil askar-askar bangsa India pasukan British semasa itu sedang berundur itu membinasakan dan meletupkan bangunan- bangunan, tempat-tempat simpanan bekalan (stores) dan lain-lain. Pada ketika itulah askar-askar Jepun yang menyerang itu menyerbu ke dalam Kawasan Lapangan Terbang itu dan setelah bertempur seketika berjaya menawan serta menduduki lapangan terbang itu. Pihak Jepun juga berjaya menawan/merampas sejumlah pesawat terbang, meriam- meriam penangkis pesawat terbang (anti-aircraft guns), meriam-meriam pembinasa kereta kebal (anti-tank guns), beberapa puluh ribu biji peluru, kira-kira 60 torpedo, motokar- motokar, sejumlah kereta perisai (armoured cars) serta juga kira-kira 100 orang askar tawanan. Dengan itu, dalam masa dua puluh empat jam sejak mereka mendarat di pantai Kelantan, askar-askar Jepun itu telah berjaya pula menawan/menduduki Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa.

No comments: