Friday 30 July 2010

JEPUN MENAWAN KOTA BHARU

Perjuangan Merebut Bandar Kota Bharu: 9 Disember 1941
Berikutan dengan kejatuhan Lapangan Terbang Kota Bharu kepada Jepun, pasukan askar India pimpinan British itu pun berundur pada malam hari itu ke satu kedudukan di Utara bandar Kota Bharu. Pengunduran dari kedudukan hadapan telah dilakukan dalam keadaan yang sukar. Dalam masa pengunduran itu hubungan dengan beberapa unit telah terputus. Yang lain-lain terpaksa menyeberangi sebuah sungai yang melimpah airnya kerana banjir dan jambatan yang merintanginya telah roboh. Beberapa orang askar India itu telah dihanyutkan oleh air sungai yang deras ketika cuba menyeberangi sungai itu dan yang lain-lain lagi telah tertinggal di belakang. Menjelang waktu fajar, 9 Disember 1941, bagaimana pun pasukan 8 th Indian Brigade sudahpun berada di kedudukannya yang baru.
Sementara itu, wanita-wanita dan kanak-kanak bangsa Eropah telah pun dipindah keluar daripada bandar Kota Bharu serta diangkut dengan kenderaan tempatan ke Kuala Krai. DYMM Sultan Kelantan (Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad ke IV) dan kerabatnya telah juga dipindahkan ke Istana di Nilam Puri, di selatan bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai.
Menjelang jam 7.00 pagi (9 Disember 1941) askar-askar Jepun cuba menyusupi pos-pos pertahanan British di semua kawasan sekitar bandar Kota Bharu, ada di antara mereka menaiki basikal dan yang lain-lain ada yang menggunakan kereta-kereta dan lain-lain jenis kenderaan yang mereka tawan di Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa sebelumnya. Sesetengah askar-askar bangsa India yang bertahan itu memberi tentangan dengan meletakkan kereta-kereta perisai di atas jalan di antara Lapangan Terbang dengan bandar Kota Bharu. Walau bagaimanapun, askar-askar Jepun itu terus mara dan setelah mereka membinasakan rintangan-rintangan jalan yang dibuat oleh pihak British itu, pasukan rejimen askar Jepun pun sampai di hujung sebelah tenggara bandar Kota Bharu ( dipercayai berdekatan dengan Kubang Kerian) dimana pihak Jepun mengatakan mereka telah berjaya membinasakan satu pasukan askar bangsa India yang berjumlah kira-kira 300 orang. Pasukan British berbangsa India yang lain-lain lagi itu mengundurkan diri ke arah Selatan dengan melalui jalan-jalan dalam bandar Kota Bharu menuju ke Kubang Kerian di Jalan Pasir Puteh dan ke Wakaf Che Yeh di Jalan Kuala Krai.
Pada kira-kira jam 2.00 petang ( 9 Disember 1941), askar-askar Jepun memasuki dan menawan bandar Kota Bharu dengan menghadapi penentangan yang tidak seberapa oleh askar-askar bangsa India dan pihak British yang mengundurkan diri itu. Maka bandar Kota Bharu jatuh ke tangan Jepun setelah dua puluh tiga jam sahaja mendarat di pantai Kelantan.
Pada sebelah petang hari itu juga, pasukan 4/19 th Hyderabad Regiment yang baru sampai dengan keretapi di Kuala Krai dari Mantin, Negeri Sembilan, dengan segera berkubu di Kem Pulai Chondong yang terletak kira-kira 12 batu di Selatan Kota Bharu di Jalan Kuala Krai. Dalam pada itu semua unit askar India di sebelah Utara, sektor sebelah kanan garisan pertahanan pantai Kelantan telah juga mengundurkan diri daripada garisan pertahanan pantai tersebut ke Selatan untuk melindungi jalan raya Kota Bharu - Pasir Puteh dan juga jalan raya Kota Bharu - Kuala Krai. Ada pun pasukan-pasukan askar India yang telah mengambil kedudukan di kedua- dua jalan raya itu setelah mengundurkan diri daripada bandar Kota Bharu sebelumnya, telah dipindahkan sepanjang malam itu ( 9 Disember 1941) dengan di kawal oleh askar-askar dari pasukan 4/19 th Hyderabad Regiment dan mendirikan kedudukan baru di Utara Pulai Chondong.

No comments: